PENGGUNAAN E-DAGANG OLEH USAHAWAN – USAHAWAN DI MALAYSIA
1.0
SEJARAH
DAN EVOLUSI E-DAGANG
Perkembangan era Teknologi Maklumat
dan Komunikasi (ICT) di seluruh dunia telah membawa perubahan dalam perniagaan
yang kompetitif (Beatty, Shim, dan Jones, 2001; Chong, Ooi, Lin & Tang,
2009; Cohen & Kallirroi, 2006; Ifinedo, 2011). Kewujudan dunia tanpa
sempadan menyebabkan sesuatu perkara yang mustahil untuk dilakukan, kini dapat
dilakukan dengan mudah berbantu kecanggihan teknologi ICT (Chong & Pervan,
2007; Davis & Vladica, 2006; Hadaya, 2006; Huang, Janz & Frolick,
2008). Kemunculan teknologi Internet membawa satu perubahan besar terhadap gaya
hidup penduduk dunia (Abu Bakar A. Hamid & Rohaizat Baharun, 2004; Khong,
Siong, Binshan & Uchenna, 2009; Sarmila Md. Sum & Faridahanum Othman,
2005).
Bandyo (2002), Brian (1998), Cubilllo
(2008) dan Saffu, Walker & Hinson (2007) menyatakan Internet menjadi
pilihan utama oleh usahawan kerana kos perkhidmatan yang murah serta sesuai
untuk syarikat bersaiz kecil dan sederhana yang mempunyai peruntukkan kewangan
yang terhad. Awal kemunculannya, Internet hanya tertumpu kepada penggunaan
elektronik mel (e-mel) dan perpindahan data daripada rangkaian sebuah komputer
kepada komputer yang lain, kini bukan sahaja aplikasinya memberikan impak yang
besar dalam kehidupan manusia, malah turut mempengaruhi dunia perniagaan yang
sentiasa memerlukan perubahan positif (Allan, Annear, Beck & Beneren, 2003;
Al-Qirim, 2007; Boeh-Ocansey, 1996; Brady, Fellenz & Brookes, 2008; Cragg,
Mehrtens & Mills, 2001; Neely & Marr, 2000; Saloner & Spence, 2002;
Timmers, 2007).
Penggunaan Internet di Malaysia
bermula pada tahun 1990 apabila MIMOS Berhad melancarkan perkhidmatan JARING
sebagai Penyedia Servis Internet (ISP) pertama, diikuti pelancaran ISP kedua
oleh Telekom Malaysia (TM) pada tahun 1996 (Ainin Sulaiman, 2000; Azham
Hussain, Fazillah Mohd. Kamal & Ruheila Afzan Musa, 2005; Khairul Nizam
Zainal Badri, 2006). Keupayaan Internet membolehkan urusniaga dapat
dilaksanakan melalui atas talian yang dikenali Elektronik Dagang atau E-Dagang
(Caldeira & Ward, 2003; Kapurubandara & Lawson, 2006; Levy &
Powell, 2005; Simpson & Docherty, 2004; Timmers, 2007; Wardati Hashim,
2006).
Dalam masa singkat, penggunaan
E-Dagang telah dijadikan sebagai medium perantara dalam pelbagai aktiviti
syarikat, ia menjadi pilihan di kalangan ahli perniagaan sebagai pengganti
kepada sistem konvensional (Chong & Pervan, 2007; Emasria Ismail, 2006;
Jeyaraj, Rottman & Lacity, 2006; Li, Lai & Wang, 2010; Mohd. Khairi
Nordin, 2004; Tassabehji, 2003; Turban, King, Viehland & Lee, 2005).
Penggunaan E-Dagang dalam urusniaga bukan sahaja sebagai medium pembangunan
yang penting, malah sebagai detik pembaharuan dalam menerokai strategi
pemasaran yang lebih luas sehingga ke peringkat global (MacGregor &
Vrazalic, 2005; Martinez & Martinez, 2010; Mohd. Amirul Akhbar Mohd.
Zulkifli, 2003; Raymond & Bergeron, 2008; Thanasankit, 2003).
Berdasarkan Laporan Tahunan PKS
(2006), Kerajaan Malaysia telah menyediakan peruntukan sebanyak RM12.9 billion
untuk meningkatkan penggunaan teknologi ICT khasnya E-Dagang dalam sektor PKS,
ia sebagai usaha memperkukuhkan lagi sistem pengurusan dan pengeluaran sektor
terbabit. Selain itu, beberapa agensi Kerajaan seperti Perbadanan Penbangunan
Teknologi Malaysia (MTDC), SME Corp dan Perbadanan Biotek Malaysia (MBC) turut
memberi kerjasama dalam memperkenalkan teknologi ICT khasnya E-Dagang kepada
usahawan KS (MITI, 2009; SME Corp 2009).
1.1
E-DAGANG
Secara umumnya, e-dagang boleh ditakrifkan sebagai
satu sistem yang membolehkan penjualan dan pembelian barangan atau perkhidmatan
oleh penjual dan pengguna di internet. Menurut sumber dari investwords.com,
e-dagang merupakan satu sistem website yang mempunyai keupayaan untuk
membolehkan proses mencari dan memilih produk dalam katalog secara atas talian
dan kemudiannya diakhiri dengan proses pembayaran sama ada melalui kad kredit atau
kad debit, pindahan wang secara terus ke bank dan Pay Pal. Bagi pembayaran
melalui kad kredit, kad debit dan pindahan wang ke bank, kebiasaannya, pemilik
atau penjual perlu mendapatkan khidmat syarikat yang menawarkan gerbang
pembayaran berserta yuran tertentu, sebagai contoh iPay88, Net Builder, MOLPay dan sebagainya. Terdapat juga pada masa
kini, perkhidmatan pembayaran langsung ke bank diwujudkan bergantung pada terma
dan syarikat yang ditentukan. Kalakota dan Whinston (1996) telah
mendenifinisikan e-dagang kepada empat perspektif iaitu:-
i.
Perspektif komunikasi
– penyampaian maklumat, produk atau perkhidmatan melalui cara elektronik;
ii.
Perspektif perniagaan
– merupakan satu aplikasi teknologi ke arah transaksi perniagaan automatic;
iii.
Perspektif
perkhidmatan – pengurangan kos besar-besaran di samping meningkatkan kualiti dan
mempercepatkan kelajuan perniagaan dan perkhidmatan penghantaran; dan
iv.
Perspektif dalam
talian – e-dagang merujuk kepada kemungkinan untuk membeli atau menjual produk
dan maklumat serta perkhidmatan dalam talian lain.
2.0
KEPENTINGAN E-DAGANG DALAM PERNIAGAAN
Teknologi
merangkumi satu konsep yang sangat luas dan ia digunakan untuk merujuk kepada
beberapa cabang sains dan kajian. Antara contoh teknologi adalah teknologi
maklumat, teknologi perubatan, bioteknologi dan sebagainya. Teknologi juga
merupakan pembangunan dan penggunaan alat, mesin, bahan dan proses untuk
menyelesaikan masalah manusia yang dihadapi dalam kehidupan seharian. Ia juga
membawa maksud tahap pengetahuan semasa dalam menggabungkan sumber bagi
menghasilkan produk yang dikehendaki dalam bidang ekonomi. Teknologi memainkan
peranan yang penting dalam kehidupan manusia.
Pada
masa kini teknologi maklumat bukan sahaja melibatkan literasi komputer malahan
ia juga digunakan dalam proses komunikasi dan proses penyelesaian masalah dalam
tugasan. Ia berfungsi sebagai media yang menyampaikan maklumat dalam bidang
perniagaan. Selain menjadi komponen yang penting dalam perniagaan, perhubungan
harmoni di antara teknologi dan perniagaan harus diwujudkan. Sekiranya
penggunaan teknologi diabaikan, perniagaan akan hilang daya saing sama ada di peringkat
tempatan atau global.
Selain
itu, pembangunan teknologi akan bertambah pantas dan bukan sebaliknya. Kemajuan
teknologi dalam beberapa dekad yang lalu telah banyak meningkatkan daya saing
dalam perniagaan dan ekonomi di seluruh dunia. Kebanyakan syarikat telah
menggunakan perisian, komputer dan internet untuk meluaskan perniagaan mereka
dari pasaran tempatan ke pasaran nasional dan global. Teknologi juga mewajibkan
untuk kekal fleksibel dan menyesuaikan dan operasi mereka selaras dengan
teknologi yang semakin maju ini. Kelebihan –kelebihan teknologi kepada usahawan
adalah:-
i.
Teknologi ialah antara
kelebihan penting kepada setiap usahawan yang progresif dan mahu sentiasa
membangun.
ii.
Boleh menaikkan imej
dan kredibiliti usahawan.
iii.
Mengembangkan
perniagaan ke negara – negara lain dengan
mewujudkan teknologi moden seperti internet dan e-dagang.
iv.
Mendapat maklumat
mengenai promosi atau aktiviti syarikat dengan lebih cepat dan tepat, melalui
pelbagai bentuk media.
v.
Meningkatkan
produktiviti usahawan. Para usahawan dapat berkongsi dan menyebarkan maklumat
dengan lebih pantas, efisyen dan tepat melalui emel, SMS dan pelbagai medium
lain.
vi.
Berkongsi, menyimpan
dan menyebar maklumat. Pembentangan produk boleh dilakukan pada bila – bila masa dan lebih menarik dengan informasi yang tersimpan di
dalam komputer atau tablet PC. Maklumat stok serta pelbagai strategi lain lebih
mudah disimpan dan dirujuk dengan menggunakan perisian terkini untuk memastikan
perniagaan berjalan dengan lancar. Menyimpan maklumat pengguna dan produk
belian mereka dengan efisien dan ini memastikan pengulangan pembelian kerana
servis lepas jualan yang pro-aktif dan pantas.
vii.
Bersedia untuk
pembangunan masa depan. Teknologi dapat memastikan statistik dan maklumat digunakan
dengan cara yang terbaik bagi perancangan bisnes masa depan. Ia juga berkembang
dengan pantas, selari dengan perkembangan dunia perniagaan.
viii.
Penggunaan masa yang
lebih efisien serta mencipta peluang pekerjaan yang baru.
ix.
Memperbaiki mobiliti pernigaan.
Teknologi telah memperbaiki jualan syarikat dengan membenarkan stokis
menggunakan alat – alat elektronik
peribadi untuk membuat paparan jualan serta menghantar pesanan dan maklumat
pelanggan ke pejabat dengan cepat. Alat – alat elektronik ini telah
memendekkan masa yang diperlukan oleh syarikat untuk menerima dan menghantar
barangan atau perkhidmatan dan seterusnya mewujudkan kelebihan berdaya saing
dalam industri.
x.
Komunikasi dengan
bantuan teknologi, proses komunikasi telah menjadi lebih murah, cepat dan
efisien.
xi.
Keberkesanan kos.
Teknologi membolehkan proses perniagaan dikomputerkan dilaman perniagaan akan
mendapat pulangan yang tinggi dengan menggunakna peralatan mesin yang
berteknologi.
xii.
Globalisasi. Ia bukan
sahaja menunjukkan perhubungan dunia yang rapat tetapi juga membenarkan ekonomi
di dunia ini menjadi satu sistem yang bersifat saling-bergantung.
3.0
TAHAP PENGGUNAAN E-DAGANG DI MALAYSIA
Bilangan
pengguna Internet di Malaysia dijangka meningkat kepada 25 juta orang menjelang
tahun 2015 berbanding 18 juta orang pada tahun 2012, demikian menurut Laporan
Ekonomi 2013/2014 yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan. Menurut
laporan itu kadar penembusan jalur lebar isi rumah pula meningkat kepada 66.8
peratus pada akhir Jun 2013 manakala dengan kadar penembusan telefon mudah alih
melebihi 100 peratus, kini terdapat 42.6 juta langganan. Statistik juga
menunjukkan lebih banyak pengguna Internet di Malaysia adalah pembeli
berbanding penjual dengan saiz pasaran urus niaga dalam talian di Malaysia
dijangka mencecah RM5 bilion menjelang tahun 2014 berbanding RM1.8 bilion pada tahun
2010. Menurut laporan itu, Malaysia adalah antara tiga negara teras di Asia
bagi purata perbelanjaan dalam talian pada tempoh 12 bulan lalu dan ini dipacu
oleh perkhidmatan pelancongan, khususnya tiket penerbangan dan tempahan hotel,
telah menerajui pembelian produk dan perkhidmatan dalam talian.
Tambahan
pula pembelian melalui Internet telah dipermudahkan lagi dengan pembayaran
elektronik melalui perbankan dalam talian atau kad kredit. Menurut laporan
berkenaan, peningkatan jumlah pengguna Internet dan pembeli dalam talian
menggambarkan potensi pasaran yang luas untuk perniagaan dalam talian. Syarikat
yang tidak mempunyai laman web atau menawarkan pembelian dalam talian perlu
mengubah perniagaan tradisional mereka kepada perniagaan dalam talian supaya
tidak kehilangan pengguna yang semakin meningkat.
Selain
daripada itu, adalah penting untuk perniagaan menumpukan perhatian kepada
pelanggan telefon mudah alih kerana bilangan mereka jauh melebihi pengguna
Internet. Laporan itu menyebut rakyat Malaysia semakin banyak menghabiskan masa
melayari Internet berbanding media lain seperti televisyen, radio dan
suratkhabar dengan penggunaan Internet yang meluas untuk rangkaian sosial.
"Kadar penembusan rangkaian sosial sebanyak 91 peratus dengan satu
daripada tiga minit yang digunakan dalam talian adalah untuk rangkaian sosial.
11.8 juta rakyat dianggarkan mempunyai akaun Facebook dengan lebih 80 peratus
melayari Internet untuk mengakses Facebook," kata laporan itu. Laporan itu
turut menyebut kebanyakan perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana
masih kurang menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) kerana sumber
kewangan yang terhad, kekurangan pengetahuan teknologi, serta kos juruteknik
dan aplikasi perisian yang tinggi.
Jelas
laporan tersebut, capaian Internet adalah rendah bagi PKS dan usahawan
disebabkan kos jalur lebar dan pendaftaran domain yang tinggi. "Sebagai
contoh, pada 2010, kos sebanyak AS$143 dikenakan untuk mendaftar domain di
Malaysia berbanding AS$64 di Taiwan dan US$24 di Amerika Syarikat," kata
laporan itu. PKS meliputi 97.3 peratus atau 645,136 daripada semua pertubuhan
perniagaan di Malaysia tetapi hanya 100,000 perniagaan yang mempunyai laman web
dengan hanya 20 peratus daripada PKS menggunakan ICT secara meluas dalam operasi
harian mereka, kata laporan itu.
Menurut
laporannya lagi, pada tahun 2010, penembusan jalur lebar dalam kalangan
perniagaan adalah rendah pada kadar 33 peratus manakala perbelanjaan
pengiklanan dalam talian juga rendah, hanya satu peratus daripada bajet
perniagaan di negara ini. Ia turut menarik perhatian bahawa terdapat juga isu
seperti keselamatan dan rangkaian yang mana menurut Paypal, lebih banyak
pengguna akan menambah pembelian dalam talian sekiranya aspek keselamatan
dipertingkatkan.
Kesimpulannya,
menurut laporan itu, adalah penting untuk PKS dan usahawan serta pengguna
menggunakan ICT serta menerima teknologi digital secara menyeluruh selari
dengan transformasi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi.
4.0
CABARAN ATAU HALANGAN PENGGUNAAN
E-DAGANG DI MALAYSIA
Secara umumnya banyak
isu dan cabaran yang dihadapi dalam perniagaan e-dagang memandangkan industri
ini masih baru berkembang di Malaysia. Walau bagaimanapun, potensi e-dagang
semakin penting pada masa kini dan pada masa akan datang. Kepentingannya juga
adalah selari dengan perubahan teknologi dan gaya hidup masyarakat terutama di
kawasan bandar – bandar besar. Cabaran dan halangan
penggunaan e-dagang di Malaysia ialah :-
4.1
Kesahihan Maklumat
Maklumat
yang tepat dan sahih adalah penting bagi menjamin tidak berlaku penyelewengan
maklumat dan sekaligus mengelakkan penganiayaan pelanggan. Pihak yang tidak
bertanggungjawab akan memberi maklumat palsu semata – mata untuk menarik
perhatian pelanggan tetapi maklumat yang diberi tidak sama seperti yang diuar –
uarkan dalam media sosial. Saban hari terdapat ramai pelanggan yang tertipu
apabila mendapat produk tiruan setelah membayar dengan harga yang tinggi atau
mendapat barangan yang lain seperti yang dilihat dalam internet. Ini menyebabkan
ramai pelanggan berasa was – was untuk membeli dan ini sekaligus akan memberi
kesan kepada usahawan yang menjalankan perniagaan dengan jujur. Keadaan ini
umpama kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
4.2
Kes
– kes Penipuan Berbentuk Kewangan
Selain
daripada kesahihah maklumat, kita juga seringkali membaca dan mendengar kes – kes
penipuan berbentuk kewangan. Penipuan ini telah semakin merebak dan semakin
ramai yang menjadi mangsa penipuan. Pada masa sekarang, kita jarang mendapat
perkhidmatan “cash delivery” yang
menuntut pembayaran apabila barang sampai ke destinasi kita. Kebanyakkan
perniagaan yang dilakukan sekarang melakukan transaksi pemindahan wang secara
talian dan apabila mereka mendapat barangan yang tidak berkualiti adalah sukar
bagi mereka untuk menuntut ganti rugi atau mengambil balik wang mereka. Malahan
ada di kalangan mereka yang melarikan diri apabila mendapat wang dan meninggalkan
pelanggan terkapai – kapai tanpa sebarang jawapan. Sekurang – kurangnya jika
pelanggan datang sendiri ke premis perniagaan dan memilih sendiri barangan yang
berkualiti dan memuaskan, kes – kes penipuan ini dapat dielakkan.
4.3
Masalah
Keselamatan
Masalah keselamatan juga menjadi isu dalam
penggunaan e-dagang. Ini kerana orang lain dapat mengakses masuk ke dalam data
kita tanpa kebenaran kita. Kita seringkali mendengar “Facebook” dipecah masuk oleh penggodam yang tidak berpuas hati
atau yang mempunyai niat yang tidak baik. Usahawan seharusnya sentiasa dalam
keadaan peka dengan maklumat syarikatnya lebih – lebih lagi jika menggunakan
media sosial sebagai pemasaran produk dan perkhidmatan mereka. Serangan mungkin
akan berlaku akibat suka – suka ataupun sabotaj daripada pesaing mereka.
Malahan gosip dan fitnah juga akan tersebar tanpa kawalan dan sekaligus akan
memberi imej buruk kepada usahawan dan perniagaan. Sekarang dengan jari sahaja,
pelbagai anasir buruk dan kritikan yang mampu menjatuhkan kredibiliti sesorang
usahawan akan disebarkan dalam media sosial. Kerana kecanggihan media sosial
yang boleh diakses pada bila – bila masa, maklumat salah akan disebarkan dan
tersebar dalam tempoh yang singkat dan adalah sukar untuk mengawalnya jika
sudah tersebar.
4.4
Gaya
Pengiklanan
Kita juga
berfikir bahawa proses perniagaan adalah mudah untuk dilakukan melalui internet
adalah mudah dimana mereka hanya meninggalkan pautan atau “link” untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka. Namun
mereka bukan sahaja akan digelar “spammer”
malah akan kehilangan pengikut mereka. Sesetengah
usahawan dan ahli perniagaan juga akan dinasihatkan oleh pakar IT untuk
mendapatkan alat pengurusan internet yang melibatkan kos yang tinggi tetapi
gagal untuk menggunakannya untuk mendapatkan hasil keuntungan yang
memberansangkan ke atas pelaburan mereka. Usahawan juga perlu mengupah
sekumpulan pekerja yang mahir dalam proses penggunaan internet. Ini akan
menyebabkan perbelanjaan yang tinggi. Malahan usahawan juga akan membelanjakan
keuntungan untuk mendapatkan lebih banyak sambutan daripada pelanggan. 90% kejayaan
perniagaan adalah adalah bergantung kepada kepada gaya pengiklanan yang
berkesan dan berterusan.
4.5
Masa Yang Diluangkan
Para
usahawan juga tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melayari internet.
Menurut Perniagaan Insider, Amerika menghabiskan sekurang – kurangnya 37
minit pada internet setiap hari dan tempoh jangkamasa tersebut akan
sentiasa berubah mengikut bidang industri yang diceburi. Untuk perniagaan yang
baru berkembang, kekangan masa adalah antara cabaran yang akan dihadapi oleh
usahawan. Mereka akan menghabiskan masa di antara 8 sehingga 14 jam sehari di
media untuk mempromosi dan memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka lebih
– lebih lagi bagi mereka yang baru menceburi bidang perniagaan dalam internet dan
menguruskan pelbagai bidang platform.
4.6
Keperluan Untuk Menganalisis Strategi Setiap Masa
Sesungguhnya
untuk melakukan pemasaran yang berkesan melalui internet memerlukan memerlukan penyediaan, pelan, dengan jadual yang
betul dan kandungan yang baik untuk dikongsikan bersama. Jika seseorang
usahawan itu tidak mempunyai pelan dan strategi yang berkesan untuk
memperkembangkan perniagaannya, dia akan mendapat pulangan atau hasil yang
kurang memuaskan. Seseorang usahawan juga perlu menganalisis strategi
e-dagang mereka pada setiap bulan dan meminda dan mengubah suai strategi
untuk memenuhi permintaan pasaran terkini. Ini bukan tugas yang mudah apabila
perubahan teknologi yang berlaku sangat pantas. Mereka juga harus
mempertimbangkan waktu mereka membuat pengiklanan dan promosi jika pelanggan
mereka dari zon waktu yang berlainan. Untuk itu, setiap usahawan perlu
menghadiri seminar atau kursus usahawan e-dagang yang sentiasa dianjurkan oleh
pakar – pakar internet.
5.0
FAKTOR – FAKTOR PENDORONG PENGGUNAAN
E-DAGANG
Seperti yang telah
dinyatakan dalam pengenalan e-dagang, salah satu keperluan yang mesti ada bagi
perniagaan ini adalah sistem laman web yang berupaya untuk melaksanakan
kesemua proses pembelian. Proses ini melibatkan pemilihan produk di katalog,
pengesahan pemesanan sehinggalah proses pembayaran oleh pembeli. Sehubungan
itu, adalah wajar bagi pengusaha e-dagang mengambil kira faktor –faktor
pendorong sebelum memulakan perniagaan ini. Antara faktor yang terlibat adalah :-
6.1 Meminimakan
Kos Pengiklanan
Meminimakan
kos pengiklanan merupakan di antara faktor – faktor pendorong penggunaan
e-dagang. Jika dulu syarikat – syarikat besar sahaja yang berkemampuan
menggunakan laman web sebagai
strategi pemasaran namun pada hari ini, iklan dan promosi dari peniaga – peniaga
kecil juga turut menghiasi laman media sekarang. Tidak dinafikan lagi bahawa
mereka dapat mengurangkan kos pengiklanan mereka jika dibandingkan dengan cara
pemasaran lain selain media sosial. Banyak perniagaan besar dan terkenal telah
memanfaatkan media sosial sebagai media publisiti untuk memperkenalkan produk
mereka. Contohnya melalui penggunaan Facebook kerana usahawan sedar akan
pengguna Facebook yang sangat ramai dan ini memudahkan lagi aktiviti pemasaran.
6.2
Interaksi Secara Langsung Dengan Pelanggan
Terdapat
juga perniagaan yang menggunakan media sosial yang menyediakan ruangan khidmat
pelanggan mereka. Interaksi dengan pelanggan adalah perkara yang penting dalam
apa jua perniagaan dan setiap maklumbalas daripada mereka akan meningkatkan lagi
kepercayaan pelanggan lain dengan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Dengan cara ini, mereka boleh memberikan khidmat yang lebih cepat malah dapat
mengeratkan lagi hubungan dengan pembeli mereka yang sedia ada. Pelanggan akan
memberi maklum balas yang positif untuk perkhidmatan yang memuaskan dan begitu
juga sebaiknya. Seperti yang kita sedia maklum, maklum balas dalam media massa
memainkan peranan penting dalam sesebuah perniagaan memandangkan ianya dapat
dibaca oleh pembaca maka maklum balas yang positif akan menarik lebih ramai
pelanggan baru manakala maklum balas yang negatif pula sebaliknya. Maklumat
yang diperolehi daripada maklum balas ini akan digunakan untuk memperbaiki dan
mempertingkatkan prestasi mereka sendiri sebagai seorang usahawan dan
perniagaan mereka. Itulah sebabnya mengapa media sosial ini memainkan peranan
yang sangat penting dalam pemasaran masa kini.
6.3
Tempat Untuk Meluaskan Pemasaran
E-dagang juga
menjadi tempat untuk meluaskan pemasaran yang efektif kerana kemudahan internet
itu sendiri yang kini manfaatnya boleh dinikmati oleh berbagai kalangan
masyarakat tanpa mengira peringkat umur. Sebagai contoh, apabila kita membuka
tapak jualan ataupun kedai, pelanggan akan tertarik kepada orang ramai yang
berkumpul di kawasan kita berniaga. Ini juga sama berlaku kepada perniagaan di
media sosial di mana pembaca akan tertarik kepada “page” yang mendapat sambutan yang mengalakkan malah mereka akan
terus memberi perhatian sepenuhnya apabila terdapat pelanggan yang membeli
produk yang sama berulang-kali dari peniaga yang sama.
6.4
Proses Penyebaran Informasi Dan Maklumat Menjadi Lebih
Mudah
Dengan
kemudahan e-dagang, proses penyebaran informasi dan maklumat menjadi lebih
mudah kerana pemilik media massa tersebut hanya perlu membuat artikel, tulisan,
gambar, video, atau apa jua bentuk informasi dan meletakkannya di media
tertentu seperti forum online yang dapat mewujudkan medium komunikasi di antara
ahli forum yang lain.
6.0
KESIMPULAN
Alam maya boleh mempengaruhi kehidupan
dan keputusan yang seringkali kita buat; tetapi biar alam realiti mendahului
alam maya kerana pembentukan komuniti alam maya juga perlu memahami nilai sebenar
alam di luar media supaya kita boleh bertanggungjawab bersama ke arah pembinaan
negara – bangsa yang dihuni oleh masyarakat kelas satu di negara kelas pertama
yakni dengan kemudahan dan infrastruktur sebagaimana negara maju termasuk
peralatan canggih komunikasi dan teknologi; masyarakat kelas satu dirujuk
kepada masyarakat yang ada ilmu, kemahiran dan kebolehan tetapi kesemuanya
diselaputi dengan nilai karakter mulia.
Jika nilai – nilai ini dipupuk,
dididik dan dijadikan amalan dari awal atas usaha bersama pelbagai ejen seperti
keluarga, sekolah, universiti, media dan rakan sebaya serta agensi berwajib
termasuk pemimpin sendiri; maka pengaruh media sosial boleh dimaksimakan untuk
tujuan yang bermatlamatkan nilai – nilai yang diterima ramai dan bukan
disebaliknya. Ia tidak boleh dilakukan berseorangan tetapi memerlukan komitmen
dan kerjasama pelbagai pihak agar media sosial menjadi ruang penyaluran mesej,
isu, berita dan ilmu yang bersesuaian dengan pembentukan masyarakat kelas satu
di sebuah negara kelas pertama agar kita tidak hilang segalanya hanya
disebabkan oleh tindakan sekelip mata tanpa menyedari kesan untuk jangka panjang.
RUJUKAN
Ab. Hamid Ali,
Fadzli Adam, Wan Solihin Wong Abdullah & Wan Abd. Aziz Wan Mohd Amin.
(2014). Penerimaan blog sebagai medium agama dalam kalangan pelajar IPTA di
Malaysia. Proceeding of the International Conference on Arabic Studies and
Islamic Civilization. iCasic 2014. 4-5 Mac 2014, Kuala Lumpur, Malaysia.
Ali Salman & Samsudin A. Rahim.
2012. New media and youth participation: towards nation building. Retrieved
from http://www.ukm.my/ [08 September 2016].
Amir
Said. 2010. Myfriends2u.com alternatif kepada Facebook Dilancar. Dlm.
Oh
Malaysia! ohmalaysia.com/myfriends2u-com-alternatif-kepada-facebook/ (Diakses
pada 09 September 2016).
Anon. (2015). e-commerce definition. Diperoleh pada 19
September 2016 dari http://www.investorwords.com/1637/e_commerce.html
Azmi Abdul
Manaf, Nik Hairi Omar & Lee Kuan Yee. 2012. Faktor kritikal kejayaan
usahawan dalam perniagaan. E-Bangi Journal of Human Sciences and Humanities,
7 (1): 34 – 45.
Berita
Harian Online (Ekonomi).
2009. Green Packet perkenal laman portal Ruumz.
6 Februari.
www.ruumz.com/Info/Contents/News/Berita%20Harian%20
Ekonomi%20pg28%20-%206Feb09.jpg
(Diakses pada 10 September 2016).
Berita Harian Online (Ekonomi). 2010. TM sasar 200,000 pelanggan Yemmz. 22
Mac. http://www.bharian.com.my/articles/TMsasar200_000langganYemmz/Article/ (Diakses pada 15 September 2016).
Bernama Media Release and Event Management. 2009. Get a
‘Ruum’ for a social networking experience with a difference. 19 Januari.
mrem.bernama.com/ viewsm.php?idm=12142 (Diakses pada 18 September 2016).
Bowles, C. 2007. Understanding social networks. Slideshare.
www.slideshare.net/ Cennydd/understanding-social-networks
(Diakses pada 15 September 2016).
Clarestalwi. 2010. Malaysia Media Landscape. Digital
Media Across Asia. 22 Mac. comm215.wetpaint.com/page/Malaysia+Internet+Penetration
(Diakses pada 19 September 2016).
Chan, C. 2007. Why Malaysian social
FriendX is so popular for connecting with people. SoftArea 51.
www.softarea51.com/pressrelease/Why_Malaysia_Friendx_ Is_So_Popular_For_Connecting_With_People.html (Diakses
pada 19 September 2016).
comScore. 2008. Social Networking explodes worldwide as
sites increase their focus on cultural relevance. comScore World Matrix. 12
Ogos. www.comscore.
com/Press_Events/Press_Releases/2008/08/Social_Networking_World_Wide (Diakses
pada 19 September 2016).
Fadzley Esa. 2010. Laman sosial baru Myfriends2u persis
Facebook dilancar. Komuniti Kita. 17 Mei.
komuniti.malaysiakini.com/news/laman-sosial barumyfriends2u- com-persis-facebook-dilancarkan
(Diakses pada 19 September 2016).
Facebook Company Profile (n.d). at September 11, 2016.
Retrieved from http://www.crunchbase.com/company/facebook
Jabatan
Perangkaan Malaysia. 2015. Diakses daripada https://www.statistics. gov.my/#
(20 September 2016).
Klaus, S.
(2013). World economic forum. The Global Competitiveness Report 2012 – 2013:
Full Data Edition.
Laporan
Tahunan 2013 SME Corporation (2013). SME Corporation Malaysia (SME Corp)
Richard, D., Richard, H., Robert, K., Barbara, N. dan
Sunil, A., (2006). e-commerce for small enterpise dvelopment: a handbook for
entrepreneurs in developing countries. UK: Institute for Development Policy
and Management (IDPM).
No comments:
Post a Comment